Saturday 20 August 2011

MAAF ZAHIR DAN BATIN

              
           Hari raya aidilfitri akan menjelang lagi...tahun ini segalanya agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya...mungkin bagi aku tak jauh sangat perbezaannya sebab aku memang berasal dari sini, tapi bagi anak-anak aku ternyata banyak perbezaan yang mereka rasakan...maklumlah, sejak lahir mereka hanya mengenali Ampang dan Kuala Lumpur di bulan Ramadhan...semasa di sana perancangan raya hebat, segalanya hendak dibeli, hendak dibawa pulang ke kampung, kalau boleh dah sampai di kampung tu tak perlu beli apa-apa lagi. Mana tempat tak pergi, Jusco Maluri, Sogo, Jusco Keramat, Wangsa Maju, Jalan TAR, Damansara malahan semasa bulan puasa lagi segala pasar juadah disusun supaya dapat dikunjungi. Bukan hanya untuk anak-anak, sekali dengan mak pak borong habis-habisan, untuk mak ayah kat kampung, adik-adik, semuanya lengkap.
               Bila dah dekat nak cuti, segera hantar kereta untuk diselenggara, banyak juga duit guna  untuk pemeriksaan biasa dan kadang-kadang tu teracun juga menambahkan beberapa aksesori kereta walaupun sebenarnya semua itu tak perlu pun. Seminggu sebelum cuti dah kemas dah baju siap-siap dalam beg masing-masing...bukannya apa, semangat lebih kemudian takut ada yang tertinggal. Perjalanan balik kampung merupakan sesuatu yang sangat menarik dan penuh semangat perayaan. Kemeriahannya sangat dirasai, anak-anak sendiri sanggup tak tidur sepanjang jalan semata-mata hendak melihat kemeriahan, kesesakan penuh warna warni kenderaan dan manusia sepanjang lebuh raya utara selatan. Di setiap perhentian R&R lampu penuh bergemerlapan dengan gerai-gerai jualan tambahan kuih dan pakaian sempena hari raya disediakan. Lagu raya ni jangan cakap lah, semua radio memutarkannya dan sebaik berhenti rehat melangkah turun kenderaan juga masih kedengaran lagunya dan kali ini dari bazar-bazar yang disediakan pula. Kiranya perjalanan balik tersebut walaupun memakan masa hampir 6 jam, sangatlah berbaloi terutamanya apabila dah masuk ke jalan kampung melihat pelita sepanjang jalan seolah-olah menyambut kepulangan kami dan wajah yang paling ceria adalah wajah mak dan ayah yang menyambut kami pulang. Kadang-kadang sampai sebelum berbuka dan kadang-kadang sampai sebelum sahur...tapi waktu manapun sampai mereka setia menanti.
                 Tahun ini, suasana itu tiada lagi...mulanya aku merasakan mesti kemeriahannya semakin kurang, bulan puasa tahun ni aku tak merasa otak-otak, nasi bukhara kegemaran aku dan anak-anak, bihun sup suriati dan kaki ku tak lagi menjejak pusat-pusat membeli belah terkemuka. Tapi sebenarnya kemeriahan itu telah berganti, sebelum ini selama 8 tahun aku menginap di kondominium mewah di Ampang, bila balik ke sini dan berada di atas tanah rupanya banyak yang perlu dilakukan....anak-anak sangat teruja hendak bermain bunga api, langsir pun dah ditukar baru, alas meja makan, pinggan mangkuk, bekas kuih semuanya perlu..ini kerana kawan-kawan aku, kawan-kawan anak-anak nak datang beraya di rumah....sesuatu yang tak pernah berlaku sebelum ini. Anak-anak dah minta macam-macam dan terbaru terpaksa la aku keluarkan duit kemudian memanjat dinding rumah seharian memasang lampu raya yang tak pernah dipasang sebelum ini....tersenyum aku sendirian, mengenangkan aku pada masa kecil tak penah pun merasa lampu raya, habis sangat pun guna pelita buluh sahaja banyak-banyak keliling rumah. Anak-anak dah minta pasang pelita tapi aku masih dapat mengelak lagi sebab sekarang  hujan hari-hari...hehehe. Yang paling penting aku dapat meluangkan masa bersama ayah dan mak aku yang sudah semakin uzur, berbuka bersama mereka walaupun tidak setiap hari. Seronoknya melihat mereka begitu berselera ketika berbuka dengan keriuhan cucu-cucu....
                  Pakaian semuanya dah sedia, dan hanya tinggal beberapa perkara kecil sahaja lagi. Nampaknya tahun ni dapatlah aku memberikan pengalaman menyediakan lemang kepada anak-anak aku, perkara yang sudah 15 tahun aku tinggalkan. Aku nak ajar anak-anak aku menganyam ketupat palas dan membakar lemang dan insyaallah tahun ni kalau sempat kita main meriam buluh...hahahaha....
                  Ternyatanya Aidilfitri walau di manapun berada kemeriahannya ada cuma berbeza-beza....aku bersyukur pada Ilahi atas pemberiannya selama ini....15 tahun masa berlalu dan banyak kenangan dicipta...ada pahit...ada manis...dan bagi aku semua itu adalah pengalaman yang sangat berharga..terima kasih segalanya...
                 Kepada kawan-kawan....yang baru, yang lama, yang otai, semuanya, teman, rakan, sahabat...dengan penuh rasa insaf ku susun sepuluh jari memohon ampun dan maaf  zahir dan batin atas segala kesalahan... SELAMAT HARI RAYA 2011

No comments:

Post a Comment